KUALA LUMPUR 11 Nov – Tindakan penguatkuasaan tegas dan berani oleh pelbagai agensi kerajaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini disifatkan sebagai yang paling berkesan dalam sejarah negara, selepas berjaya memulihkan ketirisan bernilai RM15.5 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kejayaan besar itu hasil tindakan bersepadu tanpa kompromi oleh pasukan petugas pelbagai agensi (multi-agency task force) yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain.
“Kalau tiada penguatkuasaan yang berkesan, mustahil kutipan RM15 bilion dapat dilakukan.
“Setakat yang saya tahu, ini adalah penguatkuasaan paling efektif dalam sejarah. Berdasarkan rekod rampasan, penyeludupan dan lain-lain tindakan, jumlahnya memang mencapai RM15 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
20 Kes Dibawa Ke Mahkamah
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN–Tanjung Piai) yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan dan jumlah pendakwaan yang dilaksanakan.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk rasuah, penyeludupan atau kegiatan penipuan dalam talian (scammer), malah setakat ini 20 kes sudah dibawa ke mahkamah, dengan tindakan susulan sedang diteruskan oleh Peguam Negara.
“Bukan mudah, mereka berdepan syarikat besar dan kartel berpengaruh. Mereka memerlukan sokongan serta jaminan politik yang tegas.
“Sebab itu dari akhir 2023 hingga 2025, kita dapat elakkan ketirisan dan rasuah – itulah yang membawa kepada kutipan RM15.5 bilion,” katanya.
Anwar turut menegaskan, keberanian agensi terlibat menentang kartel dan kumpulan kongsi gelap hanya dapat dilaksanakan dengan dukungan politik yang jelas daripada kepimpinan tertinggi kerajaan.
Sistem Penguatkuasaan Digital dan Canggih
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memperkukuh usaha membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupantermasuk melalui penggunaan teknologi digital di sempadan negara.
Langkah itu merangkumi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), kamera badan, mesin pengimbas kargo, serta penubuhan Centralized Screening Complex bagi meningkatkan kawalan dan ketelusan penguatkuasaan.
Beliau menjelaskan bahawa hasil rampasan dan pemulihan aset akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan, sebelum diagihkan kepada sektor utama termasuk pendidikan, kesihatan dan pertahanan.
Sebahagian Hasil Rampasan Untuk Program Pemulihan Dadah
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan akan meneliti cadangan supaya sebahagian kecil hasil rampasan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) digunakan bagi membantu program pemulihan penagih dadah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
“Saya setuju dan akan beri pertimbangan… sebahagian boleh diperuntukkan untuk program pemulihan dadah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi).
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12430









