KUALA LUMPUR 10 Nov – Penyedia permainan dalam talian, Roblox Corporation memberi jaminan untuk mempertingkatkan langkah keselamatan bagi melindungi lebih sejuta pengguna di Malaysia, khususnya kanak-kanak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, syarikat itu akan memperkukuh perlindungan aplikasi dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemantauan manusia serta kerjasama terus dengan kerajaan.
“Saya telah menyuarakan kebimbangan ini kepada pihak Roblox dan mereka memberi jaminan untuk meningkatkan keselamatan.
“Teknologi AI, pemantauan berterusan serta kerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam perkongsian data dan pematuhan peraturan akan digunakan bagi memastikan aplikasi ini selamat.
“Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut membina karakter dan nilai yang baik untuk generasi akan datang,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, kerajaan dilapor meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular, Roblox dan UMI susulan kebimbangan terhadap kandungan serta keselamatan golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, keputusan muktamad akan mengambil kira langkah Australia yang dijangka memperkenalkan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.
Kebimbangan itu turut memuncak selepas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam abangnya berusia sembilan tahun di Batu Pahat, Johor, yang dikaitkan dengan pengaruh permainan dalam talian.
Hannah pada masa sama menegaskan bahawa tidak semua permainan video atau dalam talian dikategorikan sebagai e-sukan.
“Saya sudah bertemu Roblox Corporation pada 28 Oktober lalu bagi membincangkan situasi semasa penyertaan belia dalam platform itu,” katanya.
Dengan lebih 100 juta pengguna global, termasuk lebih sejuta di Malaysia, Hannah menegaskan tanggungjawab melindungi golongan muda daripada ancaman keselamatan digital tidak boleh dipandang ringan.
“Dengan capaian sebesar ini, perlindungan terhadap pengguna muda adalah tanggungjawab besar yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12387









