Tag: JNJ-MEDIA

  • Mahkamah perintah kerajaan, PDRM bayar lebih RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat

    Mahkamah perintah kerajaan, PDRM bayar lebih RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat

    KUALA LUMPUR 5 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri aktivis, Amri Che Mat, berhubung kehilangan beliau sembilan tahun lalu.

    Perintah itu merangkumi ganti rugi am dan teruk berjumlah RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta serta ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52 kepada Noorhayati Mohd Ariffin. Defendan turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM250,000.

    Hakim Datuk Su Tiang Joo membuat keputusan tersebut selepas mendapati kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri.

    Mahkamah turut mengarahkan siasatan berhubung kehilangan itu dibuka semula dan pihak polis perlu melaporkan perkembangan terkini kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

    Ketika membacakan penghakiman hampir dua jam, hakim menyatakan pihak berkuasa gagal menunjukkan usaha sewajarnya untuk memaklumkan keluarga Amri mengenai perkembangan siasatan.

    “Pihak berkuasa juga melanggar hak Noorhayati kerana tidak menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan Amri. Kes ini sepatutnya diklasifikasikan sebagai penculikan dan bukan sekadar orang hilang,” katanya.

    Pada 18 November 2019, Noorhayati memfailkan saman terhadap 21 defendan, namun senarai itu kemudian dikurangkan kepada enam, termasuk kerajaan dan PDRM.

    Untuk rekod, Amri Che Mat dilaporkan hilang pada 24 November 2016 di Kangar, Perlis.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12304

  • Lelaki Rohingya didakwa cabul kehormatan remaja 14 tahun di Ketereh

    Lelaki Rohingya didakwa cabul kehormatan remaja 14 tahun di Ketereh

    KOTA BHARU 5 Nov – Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga kekasihnya dalam kejadian di Ketereh, Mei lalu.

    Tertuduh, Anamul Hassan Rahamatullah, berusia lingkungan 30-an, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

    Menurut pertuduhan, Anamul didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun empat bulan di sebuah rumah di Kampung Lachang, Ketereh, pada Mei lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, tidak mencadangkan sebarang wang jaminan berikutan kes berkenaan dianggap serius dan berat.

    Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan jurubahasa.

    Tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12300

  • Suami gagal beri nafkah, sikap kasar antara punca lebih 53,000 pasangan Islam bercerai tahun ini

    Suami gagal beri nafkah, sikap kasar antara punca lebih 53,000 pasangan Islam bercerai tahun ini

    KUALA LUMPUR 5 Nov – Sebanyak 53,245 pasangan Islam di seluruh negara disahkan bercerai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10,774 kes.

    Statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) menunjukkan Johor berada di tempat kedua dengan 6,078 kes, diikuti Kedah (4,582), Perak (3,908), Kelantan (3,820) dan Sabah (3,810).

    Negeri lain turut merekodkan jumlah ketara termasuk Pahang (3,767), Terengganu (3,647), Wilayah Persekutuan (3,397), Negeri Sembilan (2,679), Sarawak (2,233), Pulau Pinang (2,026), Melaka (1,793) dan Perlis (731).

    Ketua Pengarah JKSM merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain, berkata angka berkenaan melibatkan kes yang telah disahkan oleh Mahkamah Syariah, tidak termasuk permohonan perceraian yang masih dalam proses.

    “Jenis kes perceraian yang dicatatkan termasuk permohonan perceraian dengan lafaz cerai di depan hakim sebanyak 31,845 kes, pengesahan lafaz cerai bukan di depan hakim (15,972), taklik (1,257), tuntutan fasakh (4,090) dan tebus talak (81),” katanya.

    Beliau berkata, lima punca utama dikenal pasti sebagai faktor utama perceraian, termasuk kegagalan menunaikan tanggungjawab, masalah kewangan, kecurangan, isu persefahaman dan penglibatan dalam jenayah atau dadah.

    “Antara punca lain ialah kegagalan suami memberi nafkah, sikap kasar atau penderaan, pasangan menghilangkan diri serta penglibatan dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

    Usaha Mediasi, Sulh Dan Kursus Lanjutan Untuk Bendung Kes Cerai

    Menurut Mohd Amran, sebelum sesuatu kes perceraian disahkan, mahkamah akan berusaha memastikan pasangan melalui proses mediasi atau sulh bagi mencari jalan perdamaian.

    “Setiap permohonan perceraian akan disaring mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Jika mediasi berjaya, pasangan boleh berdamai. Jika gagal, barulah mahkamah mengesahkan perceraian,” katanya.

    Bagi mengekang peningkatan kes cerai, beliau mencadangkan supaya kerajaan menganjurkan kursus lanjutan selepas perkahwinan, khususnya bagi pasangan muda dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun pertama perkahwinan.

    “Pasangan disaran mengikuti kursus lanjutan mengenai keibubapaan dan pengurusan rumah tangga, termasuk larangan terhadap gurauan yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya.

    JKSM juga memperkenalkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang bertanggungjawab turun padang memberi penerangan tentang hak pasangan, bantuan undang-undang serta membabitkan pelajar universiti bagi tujuan latihan dan kesedaran sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12299

  • Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    KUALA LUMPUR – “Hubungan saya dengan dia (Nedim) okey, jadi saya tak nak komen panjang.”

    Demikian kata pelakon Nora Danish menjawab persoalan kononnya dia adalah wanita yang dimaksudkan bekas suami, Nedim Nazri menerusi untaian status berbaur perlian di platform Threads.

    Nora yang kini muncul dengan telefilem terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat berkata, dia sangat menghormati Nedim walaupun kini sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri.

    “Saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini ditambah pula saya sudah tidak lagi bersama dengannya.

    “Saya hormati hak dan privasi dia dan saya memang tak nak komen apa-apa sebab (apa yang dikongsinya), tak ada kena-mengena dengan saya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

    Ujar Nora lagi, dia juga tidak tahu akan kewujudan status daripada Nedim atau Boss Ned di media sosial yang dikatakan ditujukan kepadanya.

    “Saya tak juga tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab saya sedang sibuk uruskan restoran saya.

    “Saya tak ‘aware’ (perasan) dan tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia.

    “Saya mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua pihak. Seperti yang saya tekankan dari awal lagi, saya memang menitik beratkan hubungan baik untuk membesarkan anak saya dengan sihat,” ujarnya.

    “Jangan main (tentang) dengan anak saya, kalau mainkan dia, saya bantai sampai kurus.

    “Saya tak akan ‘bantai’ kalau saya rasa anak tak diketepikan. Kalau nak cuba marilah hantar ke sini, kita lawan. Anak saya adalah segala-segalanya,” katanya menerusi Threads.

    “Ingat, jangan ‘up’ melampau manusia tetapi itu yang kalian akan kena kalau cari fasal dengan anak saya.

    “Sasaran saya terhadap seseorang tidak pernah tersasar dan mereka tahu mengenainya,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/04/kami-okey-tak-rasa-status-itu-ditujukan-untuk-saya-nora-danish/

  • PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    KUALA LUMPUR 4 Nov – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap laporan media bertajuk “Pendekatan Fleksibel Untuk Hari Tua” yang disiarkan Sinar Harian pada 2 November lalu, kerana didakwa menggambarkan seolah-olah sistem Akaun Fleksibel KWSP mampu menyelesaikan keperluan mendesak rakyat ketika ini.

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, berkata realitinya lebih sejuta pencarum masih bergelut dengan komitmen hidup, hutang tertunggak dan tekanan ekonomi, sambil menegaskan:

    “Setiap hari, ribuan pencarum terus menunggu harapan yang belum pasti; bukan untuk hidup mewah, tetapi untuk meneruskan kehidupan.”

    Menurut PGIRM, pendekatan fleksibel yang dipromosikan sebagai solusi jangka panjang masih gagal menjawab kekangan tunai harian rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi dan peluang kerja yang tidak stabil.

    Sejak 21 Julai 2021, PGIRM telah menggerakkan pelbagai usaha menyampaikan suara pencarum kepada kerajaan termasuk penyerahan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri, Parlimen dan Istana Negara, kenyataan media berkala, solidariti aman di lokasi strategik, penghantaran e-mel rasmi kepada 222 Ahli Parlimen, serta pengumpulan lebih 320,000 respon kaji selidik yang merakamkan rintihan rakyat.

    Namun, menurut pertubuhan itu, suara berkenaan masih belum diberi perhatian sewajarnya.

    Azmi berkata rakyat tidak menolak konsep simpanan hari tua, namun dasar tersebut mesti bersifat lebih manusiawi dan fleksibel dalam menghadapi tekanan hidup semasa.

    PGIRM berpandangan kerajaan perlu menilai semula keseimbangan antara “menjaga hari tua” dan “menyelamatkan kehidupan hari ini”, kerana masa depan yang stabil tidak bermakna jika rakyat hidup dalam tekanan sekarang.

    Pertubuhan itu turut menyeru agar kerajaan menilai semula mekanisme Akaun Fleksibel, termasuk mempertimbangkan pengeluaran terkawal daripada Akaun 1 sebagai langkah khas demi keadilan sosial.

    PGIRM juga berharap liputan media pada masa depan dapat memberi ruang lebih seimbang kepada suara rakyat di lapangan supaya pandangan pencarum tidak tenggelam dalam satu naratif sahaja.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12279