Tag: JNJ-MEDIA

  • Dua bekas pengikut Ayah Pin antara 13 ditahan berhimpun di depan Istana Negeri

    Dua bekas pengikut Ayah Pin antara 13 ditahan berhimpun di depan Istana Negeri

    MACHANG 13 Nov – Dua daripada 13 individu yang ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri, Kubang Kerian kelmarin dikenal pasti sebagai bekas pengikut ajaran Ayah Pin.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata kedua-dua lelaki itu turut dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing, bersama tiga lagi individu lain.

    Beliau berkata, kumpulan yang ditahan itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.

    “Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini terlibat dengan ajaran sesat apabila dua daripadanya dikenal pasti sebagai bekas pengikut Ayah Pin.

    “Siasatan juga mendapati mereka berhimpun di depan istana untuk menyerahkan barangan lama kepada Sultan Muhammad VI (Sultan yang akan datang), bukannya Sultan Muhammad V,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang hari ini.

    Menurut Mohd. Yusoff, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk peranan tiga penduduk Orang Asli yang turut terlibat dalam himpunan tersebut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

    Media sebelum ini melaporkan, 13 individu termasuk seorang wanita dan tiga Orang Asli ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri kerana dipercayai mahu menyerahkan barangan lama kepada pihak istana.

    Mohd. Yusoff berkata, semua individu berusia antara 26 hingga 67 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

    Sumber memaklumkan, pemeriksaan terhadap beberapa suspek menemukan senjata tajam seperti keris, lembing, kelewang, pedang dan benet, selain beberapa barangan lain seperti tongkat buluh, teko tembaga, cawan tembaga, rantai manik, duit syiling pelbagai mata wang, akar kayu dan songket berwarna kuning.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12471

  • Hujan lebat landa Makkah, beberapa kawasan alami banjir kilat

    Hujan lebat landa Makkah, beberapa kawasan alami banjir kilat

    KUALA LUMPUR 13 Nov – Hujan lebat melanda wilayah Makkah semalam, menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat serta gangguan lalu lintas, selain amaran cuaca merah dikeluarkan di kota suci itu.

    Menurut laporan Pusat Meteorologi Negara (NCM) Arab Saudi, hujan disertai ribut petir, hujan batu dan risiko banjir kilat dijangka berterusan sehingga lewat malam.

    Bagaimanapun, beberapa kawasan di Makkah termasuk sekitar Masjidil Haram hanya mengalami angin kuat tanpa hujan.

    Rakaman di media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan dinaiki air di beberapa daerah selatan seperti Difa‘q, yang dilanda ribut kuat selama dua hari berturut-turut.

    Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, semalam mengarahkan pelaksanaan solat Istisqa’, iaitu solat memohon hujan, di seluruh negara hari ini. Solat itu dilaksanakan sejajar dengan sunnah Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya musim kemarau.

    Ramalan cuaca turut menjangkakan hujan akan berterusan di beberapa wilayah termasuk Madinah, Riyadh, Asir, Al-Baha, Jazan, Qassim, Hail, Tabuk, Al-Jouf, Wilayah Sempadan Utara serta sebahagian kawasan Timur Arab Saudi sehingga 17 November.

    Memetik laporan The Sun US, rakaman tular di media sosial menunjukkan air berlumpur mengalir deras di jalan raya dan kawasan kejiranan, dengan beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir manakala pemandu lain cuba mengharungi air yang semakin meningkat.

    Difahamkan, lebuh raya utama turut sesak apabila lori dan kereta bergerak perlahan akibat angin kencang serta hujan berterusan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12470

  • Anggota polis cedera dilanggar suspek samun di stesen minyak

    Anggota polis cedera dilanggar suspek samun di stesen minyak

    KLANG 13 Nov – Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa, di sini, ketika cuba melakukan tangkapan berkait kes samun, pada Rabu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang apabila anggota polis terserempak dengan sebuah Toyota Vios putih yang disyaki terlibat dalam kes samun di Subang Jaya.

    Menurutnya, ketika tangkapan hendak dilakukan, suspek bertindak agresif dengan menolak anggota polis sebelum melarikan diri menaiki kereta.

    “Ketika kejadian, kenderaan suspek telah melanggar dan hampir menggilis kaki anggota polis berkenaan serta melanggar kereta pasukan polis sebelum memandu melawan arus menghala Shah Alam.

    “Suspek kemudian meninggalkan kenderaan di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, anggota terbabit mengalami kecederaan akibat insiden itu.

    Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 33 tahun di sekitar Bandar Bukit Tinggi, Klang kira-kira jam 12.45 tengah malam Khamis.

    “Siasatan mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau dan lima rekod dadah, dan kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung pembabitan suspek dalam jenayah lain.

    Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 17 saat di media sosial memaparkan kenderaan suspek melarikan diri dari lokasi kejadian, manakala anggota polis yang cedera kelihatan terbaring di atas jalan dibantu orang awam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12469

  • Lebih 14,000 penjawat awam Terengganu terima bonus khas RM500

    Lebih 14,000 penjawat awam Terengganu terima bonus khas RM500

    KUALA TERENGGANU 13 Nov – Seramai lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu bakal menikmati bonus khas berjumlah RM500, diumumkan kerajaan negeri hari ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan pemberian bonus itu dibuat selepas mengambil kira komitmen serta sumbangan penjawat awam, meskipun ia tidak dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 pada Isnin lalu.

    “Saya sudah beritahu kepada Pegawai Kewangan Negeri (Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham) tidak akan sebut bonus (penjawat awam Terengganu dalam pembentangan bajet tetapi semasa penggulungan.

    “Ada yang tidak sabar menunggu pengumuman ini tapi saya percaya yang tidak sabar itu bukan kakitangan awam Terengganu pun,” katanya sewaktu sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini, hari ini.

    Ahmad Samsuri berkata, pemberian bonus khas tersebut akan memanfaatkan semua penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan mereka.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12467

  • Dua warga Malaysia ditahan di Singapura, ‘scam’ wanita beli emas RM1.4 juta

    Dua warga Malaysia ditahan di Singapura, ‘scam’ wanita beli emas RM1.4 juta

    SINGAPURA 13 Nov – Dua lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Singapura selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai kerajaan dan memperdaya seorang wanita membeli emas bernilai lebih S$412,000 (RM1.44 juta).

    Menurut laporan VNExpress, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai bank dan mendakwa kad kredit atas namanya digunakan bagi transaksi mencurigakan.

    Selepas menafikan dakwaan itu, panggilan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai wakil Kementerian Undang-undang serta Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

    Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum menghantar pas pekerja palsu dan dokumen sokongan melalui aplikasi WhatsApp bagi meyakinkan mangsa.

    Mangsa kemudian diarahkan memindahkan S$1 juta (RM3.5 juta) ke kad kredit tersebut dan membeli emas bernilai lebih S$412,000 di Mustafa Centre, Little India, sebelum menyerahkannya kepada individu tidak dikenali pada hari sama.

    Kedua-dua suspek berusia 22 dan 38 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ditugaskan oleh individu tidak dikenali yang menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan rentas sempadan untuk mengutip wang tunai dan barangan berharga daripada mangsa,” menurut kenyataan polis. – Agensi

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12465

  • Polis siasattular terbaru kes tembak di stesen minyak di Klang lagi

    Polis siasattular terbaru kes tembak di stesen minyak di Klang lagi

    KUALA LUMPUR 13 Nov – Satu lagi insiden tembakan dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di kawasan Klang, sehingga tular di media sosial hari ini.

    Kejadian itu dirakam orang awam yang berada di lokasi, menerusi video berdurasi satu minit 17 saat yang menunjukkan kenderaan suspek cuba melarikan diri selepas kejadian.

    Dalam rakaman berkenaan, sebuah kenderaan berwarna putih dipercayai dipandu suspek dilihat memecut meninggalkan lokasi, manakala mangsa kelihatan terduduk dengan keadaan tidak diketahui.

    Beberapa orang awam turut dilihat cuba membantu serta bertanyakan keadaan mangsa, selain satu objek dipercayai peluru atau kelongsong turut ditemui di lokasi seperti yang dipaparkan dalam video tular itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut dalam masa terdekat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12464

  • Johor negeri pertama beri insentif khas kepada pengamal media melalui Bantuan Kasih Johor

    Johor negeri pertama beri insentif khas kepada pengamal media melalui Bantuan Kasih Johor

    ISKANDAR PUTERI 13 Nov – Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan insentif khas kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).

    Menurutnya, insentif itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen BKJ yang melibatkan peruntukan melebihi RM157 juta bagi membantu pelbagai lapisan rakyat.

    “BKJ akan memanfaatkan lebih 330,000 rakyat termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.

    “Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ‘Setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ serta semangat Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar, hari ini.

    Tambah beliau, pelaksanaan BKJ menggambarkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.

    Antara bantuan utama lain yang diumumkan ialah:

    BKJ Anak Yatim Johor – RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.

    BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin – RM2,000 seorang kepada 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.

    BKJ Ibu Tunggal (YPKDT) – RM500 seorang untuk 48,537 penerima dengan peruntukan RM24.27 juta.

    BKJ Petani, Penternak dan Nelayan – RM400 seorang kepada 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.

    BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis – bantuan antara RM600 seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta.

    Onn Hafiz menegaskan, inisiatif itu adalah bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hasil negeri dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat Johor.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12463

  • Lelaki maut disambar petir ketika pulang memancing di Langkawi

    Lelaki maut disambar petir ketika pulang memancing di Langkawi

    ALOR SETAR 13 Nov – Seorang lelaki maut selepas disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama tiga rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, Langkawi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mangsa, Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

    Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 malam ketika mangsa dan rakan-rakannya baru tiba di jeti dalam keadaan hujan lebat selepas seharian memancing.

    “Sebelum kejadian, mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan untuk pulang walaupun hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk. Ketika hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir lalu jatuh ke bawah jeti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Orang awam yang berada di lokasi segera membantu mengangkat mangsa ke atas bot sebelum dibawa ke darat, namun mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejam selepas dirawat di hospital.

    Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12458

  • Nekad terjun kereta takut dipukul suami

    Nekad terjun kereta takut dipukul suami

    SUNGAI PETANI – Seorang wanita nekad terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak kerana takut dipukul suami ketika melalui lampu isyarat simpang empat berhampiran Mahkamah Sungai Petani di sini semalam.

    Video kejadian berdurasi 19 saat itu menunjukkan seorang wanita membuka pintu bahagian penumpang sebelum terjun ke jalan raya lalu dikejar seorang lelaki.

    Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sejurus video itu tular, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mengaku kejadian itu membabitkan dirinya dan suami.

    “Wanita itu mendakwa dia telah dipaksa menaiki kereta suaminya semasa mereka terserempak di sebuah stesen minyak di Bedong pada pukul 6 petang semalam.

    “Ia bagi membincangkan mengenai kemelut rumah tangga mereka. Wanita itu mendakwa mereka tidak tinggal serumah sejak sebulan lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pasangannya yang sering memukulnya,” katanya di sini hari ini.

    Pasangan terbabit dikatakan berkahwin pada Oktober tahun lalu.

    Menurut Hanyan, pihaknya kemudian menahan suami wanita berkenaan di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 8.40 malam hari yang sama.

    “Lelaki berusia 31 tahun dan merupakan seorang penganggur direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/nekad-terjun-kereta-takut-dipukul-suami/

  • Lelaki Kedah dakwa dimadukan isteri

    Lelaki Kedah dakwa dimadukan isteri

    PETALING JAYA – Seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita yang dikahwininya rupa-rupanya masih merupakan isteri orang.

    Perkongsian tular di media sosial berkenaan mendedahkan pengalamannya mendirikan rumah tangga dengan wanita tersebut yang dikenali melalui sebuah kumpulan peminat kereta Perodua Axia.

    Menurutnya, lelaki itu mengambil keputusan untuk berkahwin atas dasar tanggungjawab selepas wanita berkenaan mengaku hamil.

    Pasangan itu difahamkan berkahwin di selatan Thailand bagi memudahkan urusan kerana tidak memerlukan kehadiran keluarga kedua-dua pihak.

    “Selepas berkahwin, kami tinggal berasingan walaupun selepas keluarga mengetahui tentang perkahwinan itu. Katanya dia mahu menjaga ibunya di Jitra, manakala saya pula di Padang Serai.

    “Sepanjang perkahwinan, saya tidak pernah ke rumah ibunya sebab tidak dibenarkan ke sana,” tulisnya.

    Lelaki berkenaan turut membeli sebuah kereta Perodua Axia untuk kegunaan isterinya dan mendakwa tetap menunaikan tanggungjawab sebagai suami serta ayah tiri kepada dua lagi anak wanita terbabit walaupun tinggal berjauhan.

    Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila bayi yang dikatakan anak mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

    “Pada awalnya dia yang uruskan semuanya sebab kami hubungan jarak jauh. Namun ketika saya pergi ke hospital, saya tidak dibenarkan masuk, kerana status anak tidak sah taraf dan tiada sijil lahir. Dari situ keluarga mula rasa pelik,” ujarnya.

    Namun selepas keluarga lelaki itu membuat semakan, mereka mendapati wanita berkenaan masih mempunyai suami yang sebelum ini diperkenalkan sebagai abang kandungnya.

    Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan dokumen cerai palsu, namun semakan di pejabat agama mendapati status perkahwinan mereka masih sah.

    “Kereta yang saya beli tu pun rupanya digunakan oleh suami dia. Ibu wanita itu pun tahu dan bersubahat, siap berlakon jadi besan di depan keluarga saya,” katanya.

    Difahamkan, lelaki tersebut sudah membuat laporan polis serta ke pejabat agama dan siasatan sedang dijalankan terhadap pasangan terbabit.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/lelaki-kedah-dakwa-dimadukan-isteri/