Tag: JNJ-MEDIA

  • Lelaki maut disambar petir ketika pulang memancing di Langkawi

    Lelaki maut disambar petir ketika pulang memancing di Langkawi

    ALOR SETAR 13 Nov – Seorang lelaki maut selepas disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama tiga rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, Langkawi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mangsa, Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

    Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 malam ketika mangsa dan rakan-rakannya baru tiba di jeti dalam keadaan hujan lebat selepas seharian memancing.

    “Sebelum kejadian, mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan untuk pulang walaupun hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk. Ketika hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir lalu jatuh ke bawah jeti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Orang awam yang berada di lokasi segera membantu mengangkat mangsa ke atas bot sebelum dibawa ke darat, namun mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejam selepas dirawat di hospital.

    Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12458

  • Nekad terjun kereta takut dipukul suami

    Nekad terjun kereta takut dipukul suami

    SUNGAI PETANI – Seorang wanita nekad terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak kerana takut dipukul suami ketika melalui lampu isyarat simpang empat berhampiran Mahkamah Sungai Petani di sini semalam.

    Video kejadian berdurasi 19 saat itu menunjukkan seorang wanita membuka pintu bahagian penumpang sebelum terjun ke jalan raya lalu dikejar seorang lelaki.

    Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sejurus video itu tular, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mengaku kejadian itu membabitkan dirinya dan suami.

    “Wanita itu mendakwa dia telah dipaksa menaiki kereta suaminya semasa mereka terserempak di sebuah stesen minyak di Bedong pada pukul 6 petang semalam.

    “Ia bagi membincangkan mengenai kemelut rumah tangga mereka. Wanita itu mendakwa mereka tidak tinggal serumah sejak sebulan lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pasangannya yang sering memukulnya,” katanya di sini hari ini.

    Pasangan terbabit dikatakan berkahwin pada Oktober tahun lalu.

    Menurut Hanyan, pihaknya kemudian menahan suami wanita berkenaan di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 8.40 malam hari yang sama.

    “Lelaki berusia 31 tahun dan merupakan seorang penganggur direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/nekad-terjun-kereta-takut-dipukul-suami/

  • Lelaki Kedah dakwa dimadukan isteri

    Lelaki Kedah dakwa dimadukan isteri

    PETALING JAYA – Seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita yang dikahwininya rupa-rupanya masih merupakan isteri orang.

    Perkongsian tular di media sosial berkenaan mendedahkan pengalamannya mendirikan rumah tangga dengan wanita tersebut yang dikenali melalui sebuah kumpulan peminat kereta Perodua Axia.

    Menurutnya, lelaki itu mengambil keputusan untuk berkahwin atas dasar tanggungjawab selepas wanita berkenaan mengaku hamil.

    Pasangan itu difahamkan berkahwin di selatan Thailand bagi memudahkan urusan kerana tidak memerlukan kehadiran keluarga kedua-dua pihak.

    “Selepas berkahwin, kami tinggal berasingan walaupun selepas keluarga mengetahui tentang perkahwinan itu. Katanya dia mahu menjaga ibunya di Jitra, manakala saya pula di Padang Serai.

    “Sepanjang perkahwinan, saya tidak pernah ke rumah ibunya sebab tidak dibenarkan ke sana,” tulisnya.

    Lelaki berkenaan turut membeli sebuah kereta Perodua Axia untuk kegunaan isterinya dan mendakwa tetap menunaikan tanggungjawab sebagai suami serta ayah tiri kepada dua lagi anak wanita terbabit walaupun tinggal berjauhan.

    Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila bayi yang dikatakan anak mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

    “Pada awalnya dia yang uruskan semuanya sebab kami hubungan jarak jauh. Namun ketika saya pergi ke hospital, saya tidak dibenarkan masuk, kerana status anak tidak sah taraf dan tiada sijil lahir. Dari situ keluarga mula rasa pelik,” ujarnya.

    Namun selepas keluarga lelaki itu membuat semakan, mereka mendapati wanita berkenaan masih mempunyai suami yang sebelum ini diperkenalkan sebagai abang kandungnya.

    Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan dokumen cerai palsu, namun semakan di pejabat agama mendapati status perkahwinan mereka masih sah.

    “Kereta yang saya beli tu pun rupanya digunakan oleh suami dia. Ibu wanita itu pun tahu dan bersubahat, siap berlakon jadi besan di depan keluarga saya,” katanya.

    Difahamkan, lelaki tersebut sudah membuat laporan polis serta ke pejabat agama dan siasatan sedang dijalankan terhadap pasangan terbabit.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/lelaki-kedah-dakwa-dimadukan-isteri/

  • Pura-pura nak beli sebelum larikan rantai tangan RM20,000

    Pura-pura nak beli sebelum larikan rantai tangan RM20,000

    SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli barangan kemas sebelum melarikan seutas rantai tangan emas bernilai RM20,000 dari sebuah kedai emas di Tikam Batu dekat sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, terdapat beberapa pelanggan lain yang turut berurusan membeli barangan kemas di premis berkenaan.

    Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai seorang lelaki tempatan. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pembantu jualan kedai emas berkenaan pada pukul 1.41 tengah hari.

    “Ketika kejadian, terdapat beberapa pelanggan termasuk suspek sedang berurusan membeli barang kemas di premis yang menggunakan pintu kawalan automatik.

    “Suspek yang memakai baju-T berwarna hijau serta bertopi kemudian bertindak berlari keluar ketika pintu dibuka untuk membolehkan seorang pelanggan yang selesai berurusan keluar,” katanya di sini hari ini.

    Menurutnya, pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal, selain tidak sempat melihat kenderaan yang dinaiki lelaki itu.

    “Pihak kami sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/pura-pura-nak-beli-sebelum-larikan-rantai-tangan-rm20000/

  • Pengantin terima hantaran 2 buah kereta

    Pengantin terima hantaran 2 buah kereta

    JAKARTA – Sebuah majlis pernikahan di Pati, wilayah Jawa Tengah mengundang perhatian ramai apabila pengantin lelaki menyerahkan beberapa barang berharga termasuk dua buah kereta sebagai hantaran kepada isterinya, lapor portal berita Lambe Turah.

    Majlis itu berlangsung di rumah pengantin perempuan di Tambakromo baru-baru ini.

    Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @lazalailazaskia menunjukkan dua kereta jenis Mitsubishi Pajero dan Toyota Innova diletakkan di dalam rumah.

    Antara barang lain termasuk barang kemas, set penjagaan kulit, minyak wangi, dua pasang kasut, beg tangan berjenama, produk kosmetik dan lain-lain.

    Rakaman itu mencatatkan lebih 5.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai daripada reaksi pengguna media sosial.

    “Siapakan wanita yang beruntung itu?” kata seorang netizen. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/pengantin-terima-hantaran-2-buah-kereta/

  • 2 ‘scammer’ Malaysia tipu wanita lebih RM1 juta diberkas

    2 ‘scammer’ Malaysia tipu wanita lebih RM1 juta diberkas

    SINGAPURA – Dua lelaki warga Malaysia ditahan di Singapura kerana menyamar sebagai pegawai kerajaan dan memperdaya seorang wanita untuk membeli emas bernilai lebih S$412,000 (RM1.44 juta), lapor portal berita VNExpress.

    Kedua-dua suspek berusia 22 dan 38 tahun itu ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/2-scammer-malaysia-tipu-wanita-lebih-rm1-juta-diberkas/

  • Tanah 106.542 hektar di Jalan Duta kekal milik kerajaan

    Tanah 106.542 hektar di Jalan Duta kekal milik kerajaan

    PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan syarikat Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pertikaian membabitkan tanah 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu yang dikenali sebagai Duta Enclave.

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selepas mendapati

    SESB selepas mendapati ia gagal memenuhi ambang peruntukan Seksyen 96(a) dan 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    “Kami berpendapat selepas meneliti semua hujahan dengan terperinci serta meneliti undang-undang dan perlembagaan, permohonan kebenaran oleh pemohon tidak memenuhi ambang keperluan seperti yang ditetapkan. Dengan itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu ditolak dengan kos,” kata Hasnah.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

    Dalam saman sivil, pihak yang ingin merayu ke mahkamah tertinggi itu harus mendapat kebenaran merayu terlebih dahulu.

    Semasa prosiding, peguam Datuk Dr. Cyrus V Dass mewakili SESB manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

    Sebelum ini pada 24 Jun lalu kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan berjaya dalam rayuan bagi mengetepikan perintah pemindahan hak milik 263 ekar (106 hektar) tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB).

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng selepas membenarkan rayuan kerajaan.

    Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya.

    Meskipun kerajaan kekal dalam milikan tanah tersebut, mahkamah mengarahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

    Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

    Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

    Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos 2024 selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.

    Hakim itu turut memerintahkan defendan supaya mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

    Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

    Kemudian pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

    Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/rayuan-semantan-estate-ditolak-tanah-jalan-duta-kekal-milik-kerajaan/

  • ‘Terus kuat, belum tamat lagi’ – Datuk Red tiup semangat buat Kamal

    ‘Terus kuat, belum tamat lagi’ – Datuk Red tiup semangat buat Kamal

    PETALING JAYA – Pernah melalui situasi sama, usahawan dan pempengaruh, Datuk Red menyuntik semangat buat pelakon, Kamal Adli agar terus kuat berdepan ujian dalam perkahwinan.

    Red atau nama lengkapnya, Datuk Seri Adnan Abu berkata, usaha ke arah itu belum berakhir memandangkan masih ada ruang untuk memperbaiki hubungan dengan isteri, Uqasha Senrose.

    “Terus kuat, belum tamat lagi,” tulis bekas suami kepada penyanyi, Adira itu dalam ruangan komen di TikTok.

    Sebelum itu, Kamal memuat naik video lama memaparkan isterinya dan anak mereka, Hawra Uqaira meluangkan masa bersama-sama.

    Perkongsian tersebut meraih perhatian orang ramai dengan kebanyakan netizen memberikan kata-kata semangat kepadanya.

    Bahkan ramai menyatakan hantaran dibuat adalah disebabkan rindu yang membuak-buak terhadap insan kesayangannya.

    Terdahulu, rumah tangga pasangan terbabit didakwa bergolak sejak April lalu sehingga akhirnya desas-desus itu disahkan sebaik Uqasha, 33, memfailkan permohonan perceraian pada 1 Oktober lalu.

    Kes mereka kini masih dalam proses mahkamah dan 19 November depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula.

    Kamal, 39, dan Uqasha disatukan di Janda Baik, Pahang pada pada 5 November 2021. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 11 bulan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/terus-kuat-belum-tamat-lagi-datuk-red-tiup-semangat-buat-kamal/

  • ‘Ikut cara lama, lelaki mulakan langkah pertama terhadap saya’

    ‘Ikut cara lama, lelaki mulakan langkah pertama terhadap saya’

    PETALING JAYA – Penyanyi Farahdhiya mengakui masih selesa dengan pendekatan lama iaitu lelaki memulakan langkah pertama untuk berkenalan untuk sesebuah perhubungan.

    Pemilik nama penuh Nur Farahdhiya Mohd Amin, 41, itu berkata, ‘mengiklankan’ diri dalam media sosial untuk mencari jodoh dilihat satu perkara yang bagus meskipun kelihatan aneh

    “Hari ini nampak ramai pula yang mencari jodoh untuk diri sendiri. Sebenarnya idea yang bagus walaupun macam pelik jugalah.

    Meski ramai mula melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan jodoh, dia masih kekal dengan pendirian untuk melakukan langkah pertama.

    “Tetapi tidak mengapa, saya masih selesa dengan ikut cara lama.

    “Bercakap tentang itu, saya rindu pula zaman bercinta dulu-dulu, lain betul dengan sekarang.

    “Orang sekarang pelik. Perkara yang mereka bicara dan lakukan buat saya takut,” ujarnya tanpa memperincikan perkara yang dianggap menakutkan itu.

    Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan Farahdhiya melahirkan kebimbangan untuk berkahwin disebabkan banyak kes keganasan rumah tangga dan takut nasib sama berlaku kepadanya.

    Dia juga turut mendedahkah 90 peratus lelaki yang mendekatinya adalah berstatus suami orang. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/13/ikut-cara-lama-lelaki-mulakan-langkah-pertama-terhadap-saya/

  • Lubang benam kedalaman 4 meter berhampiran SK Bandar Tasik Kesuma

    Lubang benam kedalaman 4 meter berhampiran SK Bandar Tasik Kesuma

    KAJANG 12 Nov – Satu kejadian lubang benam dilaporkan berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, semalam.

    Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz, berkata laporan mengenai insiden itu telah dibuat kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

    “Tindakan serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan sedang diambil,” katanya.

    Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman, menjelaskan lubang berkenaan mempunyai kedalaman kira-kira empat meter. Laluan di lokasi telah ditutup segera bagi keselamatan pengguna.

    “Hasil siasatan mendapati lubang benam berlaku berhampiran jajaran paip utiliti pembetungan agensi berkaitan. MPKj telah memaklumkan pihak terbabit untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

    Terdahulu, klip video kejadian tular di media sosial menunjukkan lubang benam dengan aliran air di dalamnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12445