Tag: JNJ-MEDIA

  • Kalau kita berbaik, kan lebih tenang – Dr. Afifah

    Kalau kita berbaik, kan lebih tenang – Dr. Afifah

    PETALING JAYA – “Kalau kita berbaik, kan lebih tenang.”

    Demikian luah Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berhubung kemelut rumah tangganya bersama penyanyi, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad.

    Dalam hantaran di laman Threads, Dr. Afifah berharap agar mereka berdua dapat menyelesaikan segala masalah dengan damai demi kebaikan anak-anak dan keluarga.

    “Tak boleh ke kita selesaikan semuanya dengan baik, bahagiakah bila keadaan jadi macam ini? Kalau kita berbaik, kan lebih tenang… tak ada siapa perlu salahkan sesiapa.

    “Tapi sekarang, terlalu banyak cerita yang keluar. Saya cuma nak semuanya selesai dengan cara yang baik,” katanya hari ini.

    Dalam hantaran berbeza, Dr. Afifah turut mempersoalkan tindakan Nubhan selain meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku.

    “Beginikah caramu mahu sakiti saya? Saya ibu kepada anak-anak kita. Dulu, sayalah penyokong paling kuat, pengagum paling setia. Saya percaya pada kamu, saya jaga kamu sepenuh hati, dan saya beri yang terbaik.

    “Walaupun mungkin tak sempurna, ini bukan cara yang sepatutnya ia berakhir. Anak-anak kita sedang membesar, tak lama lagi mereka akan faham. Tolong… mari kita pilih jalan yang tenang dan diam,” jelasnya.

    Sebelum ini, penyanyi Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, hasil perkahwinan dengan isteri, Dr. Afifah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada September lalu.

    Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Redzuan Ramli, Nubhan memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.

    Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

    Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/09/kalau-kita-berbaik-kan-lebih-tenang-dr-afifah/

  • Keindahan alam tarikan utama Pulau Jeju

    Keindahan alam tarikan utama Pulau Jeju

    PELUANG melancong ke Pulau Jeju, Korea Selatan selama 11 hari bersama rakan-rakan untuk menyaksikan keindahan panorama dedaunan berwarna jingga dan merah keemasan terasa cukup berbaloi. Udara sejuk dan segar membuatkan suasana sangat tenang serta sesuai untuk melakukan aktiviti luar, sekali gus menjadi pengalaman menenangkan yang sukar dilupakan. Boleh dikatakan, setiap langkah sepanjang bersama rakan-rakan meninggalkan kenangan indah apabila berada di negara yang terkenal dengan gelaran K-pop itu. Bukan sahaja berjalan-jalan di kawasan sekitar, kami juga berjaya mendaki Gunung Hallasan yang……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/09/keindahan-alam-tarikan-utama-pulau-jeju/

  • Selangor tidak boleh cepat ‘koyak’

    Selangor tidak boleh cepat ‘koyak’

    PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel berharap barisan pemain dapat kembali pulih daripada aspek mentaliti dan tidak ‘koyak’ menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA bertemu Sabah FC malam ini.

    Gergasi Merah terdesak untuk memulihkan reputasi yang tercalar selepas dimalukan apabila tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tanpa meraih sebarang kemenangan.

    Prestasi merosot pasukan menyaksikan penyokong setia Merah Kuning melakukan protes di perkarangan Stadium MBPJ selepas tewas 2-3 kepada Persib Bandung pada Khamis lalu.

    Menurut Gamel, tumpuan kini terarah kepada peringkat domestik dengan misi membantu pasukan mara ke final Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.

    “Saya harap pemain dapat bangkit semula daripada kekalahan lepas supaya tidak lagi kecewa ketika bertemu Sabah nanti.

    “Apa yang berlaku ketika bertemu Persib adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi inilah hakikat yang perlu kita terima.

    “Saya mula bimbing pasukan ini sejak sebulan lalu dan jelas kita tidak seimbang kerana ramai pemain yang disisihkan ekoran kecederaan.

    “Namun, saya percaya pemain yang diberikan peluang dapat berikan yang terbaik untuk memburu keputusan positif nanti,” kata pengendali dari Perancis itu.

    Gergasi Merah merupakan finalis Piala FA musim lalu tetapi tewas memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Kali terakhir Selangor menang trofi Piala FA pada edisi 2009 dengan menewaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/09/selangor-tidak-boleh-cepat-koyak/

  • Teluk Intan permata tersembunyi Perak

    Teluk Intan permata tersembunyi Perak

    TERLETAK di hilir Sungai Perak, Teluk Intan, merupakan sebuah bandar yang sering dikaitkan dengan sejarah, budaya dan keindahan semula jadi memukau. Walaupun tidak sebesar bandar pelancongan lain seperti Ipoh atau Taiping, namun Teluk Intan mempunyai daya tarik tersendiri, sekali gus menjadikannya destinasi percutian menarik bagi mereka yang gemarkan suasana santai dan tenang. Menurut seorang warga tempatan, Ridhwan Isa, 32, Teluk Intan bukan sahaja menyimpan kisah lama dari era penjajahan British, malah menawarkan pelbagai tempat menarik yang sesuai untuk pelancong seisi……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/09/teluk-intan-permata-tersembunyi-perak/

  • Lelaki Malaysia ditahan di Thailand, 75kg ketamin disorok dalam kereta

    Lelaki Malaysia ditahan di Thailand, 75kg ketamin disorok dalam kereta

    KUALA LUMPUR 9 Nov– Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas ditemukan 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di dalam kereta dipandunya dalam satu operasi di Wilayah Chumphon pada Khamis lalu.

    Penahanan itu hasil operasi Bahagian Siasatan Narkotik (NSB) Polis Diraja Thailand bersama Polis Wilayah Chumphon sekitar jam 11.40 pagi di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, Daerah Tha Sae. Polis Wilayah 8 turut serta dalam operasi berkenaan sebagai sebahagian usaha mengetatkan kawalan di laluan selatan negara itu bagi membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan.

    Menurut laporan media Thailand, Siam Focus Time, polis menahan sebuah Nissan hitam bernombor pendaftaran Malaysia yang dilihat mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan menggunakan mesin X-ray. Hasil imbasan membawa kepada penemuan ruang rahsia di bahagian belakang kenderaan tersebut.

    Pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik vakum berisi ketamin seberat 75kg yang dianggarkan bernilai lebih 70 juta baht (kira-kira RM9 juta).

    Suspek warga Malaysia berusia 25 tahun itu mengaku diupah individu tidak dikenali untuk membawa kereta berkenaan dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000, namun mendakwa tidak mengetahui terdapat dadah tersembunyi di dalamnya.

    Lelaki terbabit ditahan atas kesalahan memiliki dan menjual bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.

    Suspek bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Narkotik Wilayah 4 untuk siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12375

  • tular tangkapan di Klang hanyalah latihan simulasi polis

    tular tangkapan di Klang hanyalah latihan simulasi polis

    KLANG 9 Nov. – Polis mengesahkan bahawa video tular memaparkan sepasukan anggota menahan seorang individu di sini sebenarnya hanyalah latihan amal simulasi melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, latihan tersebut dijalankan pada jam 10 pagi Sabtu oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

    Menurut beliau, seramai dua pegawai dan 26 anggota IPD Klang Utara terlibat dalam latihan berkenaan, termasuk koordinasi bersama Cawangan Pusat Kawalan Polis, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Klang Utara.

    “Latihan ini dijalankan bagi mengkaji keberkesanan serta kesiapsiagaan anggota MPV, URB dan pusat kawalan dalam menangani situasi mengejar penjenayah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya memuat naik rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

    “Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat tidak benar mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

    Sebelum ini, tular sebuah video di Facebook mendakwa berlaku tangkapan susulan kes samun kedai emas di Klang, namun polis menegaskan rakaman tersebut hanyalah sebahagian daripada latihan simulasi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12374

  • JAIP tahan ketua, tujuh pengikut ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ disyaki ajaran sesat

    JAIP tahan ketua, tujuh pengikut ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ disyaki ajaran sesat

    KUANTAN 9 Nov – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ajaran sesat, dalam satu serbuan di Jerantut kelmarin.

    Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang di sebuah bekas gudang perabot yang dipercayai dijadikan tempat tinggal kumpulan berkenaan di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar.

    Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut menemui pelbagai dokumen serta barangan yang disyaki bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berunsur khurafat.

    “Antara barangan dirampas ialah tongkat, ikatan kain kuning, kain hitam yang didakwa boleh mengayakan orang, serta batu yang dililit kain kuning.

    “Turut dirampas ialah kertas mengandungi cara niat solat jamak fardu seumur hidup, nota lafaz selawat dan ikrar berunsur meragukan. Penemuan ini mengukuhkan syak wujudnya amalan yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semua bahan rampasan itu akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Pahang bagi penelitian lanjut.

    Ahmad Khirrizal berkata, ketua kumpulan berusia 45 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut, dan digelar ‘ayahanda’ oleh pengikutnya. Lelaki itu dilaporkan menyewa dan mengubah suai gudang perabot tersebut menjadi penempatan kumpulan itu sejak lebih dua tahun lalu.

    Premis berkenaan turut didiami isteri ketua kumpulan serta empat anak mereka berusia antara lapan hingga 15 tahun.

    “Siasatan awal mendapati pengikut kumpulan itu berusia 45 hingga 66 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor serta Melaka. Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sejak bila kegiatan ini bermula serta mengesan individu lain yang mungkin terlibat,” katanya.

    Setakat ini, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan syariah, namun semakan lanjut berkaitan rekod jenayah turut dilakukan oleh polis.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki dan menyimpan dokumen bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 19 enakmen sama kerana tidak menunaikan solat Jumaat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Semua suspek dibebaskan semalam dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan sebelum dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Jerantut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12373

  • Anwar: Persekutuan beri RM17 bilion kepada Sabah, lebih tinggi daripada kutipan hasil

    Anwar: Persekutuan beri RM17 bilion kepada Sabah, lebih tinggi daripada kutipan hasil

    KUALA LUMPUR 9 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sejumlah RM17 bilion kepada Sabah, iaitu jumlah yang jauh melebihi kutipan hasil RM10 bilion dari negeri berkenaan.

    Menurut Anwar, tidak wajar wujud kekeliruan antara peruntukan Persekutuan kepada Sabah dengan bahagian 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri tersebut, yang sepatutnya dibayar sebagai geran khas.

    Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kerajaan telah memberikan lebih daripada kadar 40 peratus itu melalui peruntukan pembangunan dan pengurusan Persekutuan untuk Sabah.

    “Berapa kami (kerajaan Persekutuan) ambil dari Sabah? Saya beritahu, RM10 bilion.

    “Berapa kita beri balik kepada Sabah? RM17 bilion,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

    Anwar turut menjelaskan bahawa aturan semasa berkaitan pembayaran geran khas antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih bersifat sementara, dengan rundingan sedang diteruskan.

    Rundingan berhubung formula pembayaran baharu itu telah bermula sejak 2022, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan kerajaan merundingkan semula pengagihan hasil dengan Sabah.

    Di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima geran khas bersamaan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri tersebut, dan ia sepatutnya berada di bawah kawalan penuh kerajaan negeri.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12372

  • Perkhidmatan tren di Stesen Butterworth pulih sepenuhnya selepas insiden tren terlajak

    Perkhidmatan tren di Stesen Butterworth pulih sepenuhnya selepas insiden tren terlajak

    KUALA LUMPUR 9 Nov – Operasi perkhidmatan tren di Stesen Butterworth kembali pulih sepenuhnya selepas kerja mengalihkan tren Komuter enam gerabak (SCS03) yang terlajak ke hujung landasan di Platform Empat semalam berjaya diselesaikan.

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 6.01 pagi semalam sebelum pasukan teknikal menyelesaikan kerja pemulihan sepenuhnya.

    Menurut KTMB, perkhidmatan tren penumpang kembali beroperasi seperti biasa mulai jam 7.51 malam semalam.

    KTMB turut merakamkan penghargaan kepada para penumpang atas kesabaran dan kefahaman mereka sepanjang kerja pemulihan dijalankan.

    Dalam masa sama, KTMB menegaskan komitmen untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, selain memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12370

  • KPM gesa sokongan ibu bapa jayakan Pelan Pendidikan 2026-2035 dan Kurikulum 2027

    KPM gesa sokongan ibu bapa jayakan Pelan Pendidikan 2026-2035 dan Kurikulum 2027

    SEBERANG PERAI 9 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru semua pihak terutama ibu bapa agar memberikan sokongan padu dalam menjayakan dua agenda utama pendidikan negara, iaitu Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027.

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua inisiatif tersebut menjadi tonggak penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan nasional bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

    “KPM kini sedang mengusahakan dua agenda utama iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan baharu serta Kurikulum 2027 yang akan dimulakan di peringkat prasekolah pada tahun 2026. Usaha ini memberi kesan langsung terhadap sistem pendidikan negara dan memerlukan sokongan semua pihak.

    “Kita juga perlu melihat bagaimana komuniti dapat bersama kementerian dalam memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah anak-anak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal, malam tadi. Turut hadir, Pengetua SMK Methodist Nibong Tebal, Dr S. Sivasanggar.

    Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM akan melaksanakan pembentukan karakter murid secara menyeluruh mulai 2026 melalui pendekatan bersepadu yang diintegrasikan dalam subjek sedia ada.

    Katanya, pelaksanaan inisiatif itu akan bermula di peringkat prasekolah sebelum diperluaskan kepada murid Tahun Satu dan seterusnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12366