Tag: JNJ-MEDIA

  • 11 terbunuh pesawat kargo pesawat UPS terhempas, enjin tercabut ketika berlepas di Kentucky

    11 terbunuh pesawat kargo pesawat UPS terhempas, enjin tercabut ketika berlepas di Kentucky

    KENTUCKY, AMERIKA SYARIKAT 6 Nov – Sekurang-kurangnya 11 individu termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas sebuah pesawat kargo milik syarikat penghantaran antarabangsa UPS terhempas tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali di Louisville, petang Selasa.

    Insiden tragis itu turut mencetuskan letupan besar dan kebakaran dahsyat, menyebabkan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara sekitar lapangan terbang.

    Gabenor Kentucky, Andy Beshear, dalam sidang media memaklumkan jumlah korban dijangka meningkat, manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan serius termasuk akibat terbakar, terkena serpihan logam dan terhidu asap.

    “Tiga anak kapal turut disahkan antara yang terkorban,” katanya sambil mengesahkan darurat negeri telah diisytiharkan bagi mempercepatkan pengagihan sumber bantuan melalui Agensi Pengurusan Kecemasan dan Pengawal Kebangsaan Kentucky.

    Enjin Tercabut Ketika Berlepas

    Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), pesawat jenis MD-11F itu mengalami kerosakan teruk apabila enjin kiri terbakar dan tercabut dari sayap sejurus pesawat memecut di landasan sekitar jam 5.15 petang waktu tempatan (10.15 malam GMT).

    Rakaman CCTV menunjukkan pesawat berkenaan sempat terangkat dan melepasi pagar lapangan terbang sebelum ia menjunam dan merempuh beberapa premis perniagaan berhampiran, mengakibatkan kebakaran besar.

    Pasukan penyiasat kemudiannya berjaya menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan (kotak hitam) untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

    Mangsa, Premis dan Operasi Menyelamat

    Setakat ini, 16 keluarga telah melaporkan kehilangan ahli keluarga, termasuk dua pekerja bengkel kenderaan yang terjejas akibat rempuhan. Jumlah pelanggan di premis berhampiran semasa kejadian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

    Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg, berkata landasan lapangan terbang telah dibuka semula bagi membolehkan operasi penerbangan disambung, sementara operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan.

    Pesawat kargo itu dilaporkan membawa 38,000 gelen (144,000 liter) bahan api untuk penerbangan sejauh 6,920 kilometer ke Hawaii, yang turut menyumbang kepada kebakaran besar selepas terhempas.

    Menurut wakil Kongres Kentucky, Morgan McGarvey, kebakaran berkenaan menyebabkan kawasan sekitar kelihatan seperti “hujan minyak” akibat tumpahan bahan api.

    Letupan turut memusnahkan sekurang-kurangnya dua premis berhampiran, termasuk sebuah syarikat kitar semula petroleum.

    Ketua Jabatan Bomba Louisville, Brian O’Neal, menyifatkan tumpahan bahan api itu sebagai “situasi yang sangat berbahaya”, manakala Ketua Polis Louisville, Paul Humphrey, berkata kawasan nahas akan kekal dikawal rapi selama beberapa hari bagi tujuan keselamatan.

    Latar Pesawat dan Respons Syarikat

    Pesawat MD-11F yang terlibat dibina oleh McDonnell Douglas sebelum syarikat itu bergabung dengan Boeing pada 1997. Ia mula beroperasi sebagai pesawat penumpang bersama Thai Airways kira-kira 34 tahun lalu, sebelum diserap ke dalam armada UPS pada 2006.

    Syarikat FedEx dan UPS sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memulakan proses persaraan pesawat MD-11dalam dekad akan datang sebagai langkah pemodenan armada.

    Dalam kenyataan rasmi, Boeing menzahirkan komitmen untuk membantu siasatan dan menyokong pelanggan mereka, manakala UPS melahirkan rasa sedih mendalam terhadap tragedi itu serta menghentikan sementara operasi penyusunan bungkusan di pusat utama mereka, Worldport, malam kejadian.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12308

  • FINAS umum pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin sebagai CEO sehingga 2027

    FINAS umum pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin sebagai CEO sehingga 2027

    KUALA LUMPUR 5 Nov. – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

    Dalam kenyataannya, Datuk Azmir merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS serta Ahli-Ahli Perbadanan atas kepercayaan yang diberikan. Beliau turut menghargai sokongan seluruh warga FINAS dan rakan industri yang terus berganding bahu memajukan sektor kreatif negara.

    Datuk Azmir berkata, pelantikan penggal kedua ini akan memberi fokus kepada pemerkasaan dasar dan pembangunan industri, termasuk pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi kebajikan kru produksi.

    Menurutnya, FINAS turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 yang menggariskan agenda pembangunan 10 tahun seperti menjadikan Malaysia hab industri kreatif ASEAN, memperkukuh monetisasi harta intelek (IP), membuka pasaran eksport serta memperluas kerjasama pembiayaan dan produksi bersama antarabangsa.

    Selain itu, sebanyak RM110 juta insentif galakan industri filem disediakan bagi menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti di Malaysia, termasuk RM10 juta bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan.

    FINAS turut memperkenalkan Dana Belia Kreatif MADANI bagi melahirkan generasi pencipta kandungan yang berilmu dan bertanggungjawab, selain menyokong pembangunan bakat di kampus serta komuniti belia seluruh negara.

    Sepanjang penggal pertama 2023–2025, FINAS mencatat beberapa pencapaian utama termasuk pemulihan ekosistem industri pasca pandemik, peningkatan kutipan filem tempatan mencecah RM180 juta sehingga Oktober 2025, serta kejayaan filem Malaysia menembusi festival antarabangsa seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown dan Imam.

    Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik di rantau ini dengan pertumbuhan pawagam yang stabil serta pelaburan berterusan platform OTT antarabangsa seperti Netflix, Viu, Astro dan iQiyi. FINAS juga akan memperkasa skim kerjasama produksi antarabangsa serta memperkenalkan model baharu pembiayaan filem bagi menarik lebih banyak pelaburan global.

    Pada ASEAN Film & TV Summit 2025, Malaysia turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Belia Kreatif ASEAN, iaitu komitmen bersama generasi muda rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema.

    Datuk Azmir menegaskan bahawa FINAS kini komited menjadi sebuah organisasi yang lebih cekap, telus dan mesra industri melalui pindaan akta serta penambahbaikan dasar perfileman negara.

    FINAS turut berazam memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi, selain memperluas infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak untuk mengangkat Borneo Content ke peringkat antarabangsa.

    Pengerusi FINAS, Ahli-Ahli Perbadanan serta seluruh warga FINAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Azmir atas pelantikan semula itu dan menzahirkan harapan agar beliau terus memacu industri filem negara ke tahap lebih gemilang.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12307

  • Sultan Pahang gesa semua pihak beri ruang kepada proses siasatan isu hukuman FIFA

    Sultan Pahang gesa semua pihak beri ruang kepada proses siasatan isu hukuman FIFA

    KUALA LUMPUR 5 Nov. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan dan keputusan berhubung hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan.

    Baginda, yang juga mantan Presiden FAM, menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan wajar dihormati dan kebenaran harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk didedahkan.

    “Saya rasa tidak perlu untuk saya mengulas kerana ramai telah memberi pandangan.

    “Untuk lebih adil, biarlah proses ini berjalan seperti sepatutnya. Biar kebenaran datang daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab,” titah baginda ketika ditemui pada Majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, hari ini.

    Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Acara itu menghimpunkan 150 tetamu jemputan termasuk legenda sukan negara seperti Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Rashid Sidek, Datuk James Selvaraj, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, G. Shanti dan Datuk Leong Mun Yee.

    Mengulas lanjut, Al-Sultan Abdullah bertitah agar kemelut berkenaan dijadikan pengajaran agar kesilapan sama tidak berulang.

    “Sudah tentu perkara ini perlu menjadi ingatan kepada semua pada masa akan datang. Kita mesti membetulkan keadaan demi kebaikan bola sepak negara.

    “Ini bukan masa untuk menuding jari. Kita perlu bangkit dengan semangat baharu,” titah baginda.

    Baginda turut berharap seluruh komuniti bola sepak termasuk FAM, kelab dan penyokong kekal bersatu dalam usaha memulihkan keyakinan terhadap sukan nombor satu negara itu.

    Terdahulu, rayuan FAM bagi membatalkan keputusan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12306

  • Pelajar SPM terselamat, bapa diserang sawan ketika memandu hingga rempuh rumah

    Pelajar SPM terselamat, bapa diserang sawan ketika memandu hingga rempuh rumah

    BALING 5 Nov– Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan hari pertama terselamat dalam insiden kereta dinaikinya merempuh dinding sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Charuk Sikin, Kupang, hari ini.

    Kejadian berlaku ketika bapa pelajar berkenaan, yang datang menjemput anaknya pulang ke rumah mereka di Kupang, dipercayai diserang sawan ketika memandu.

    Difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, lelaki berusia lingkungan 40-an itu cuba memegang stereng dengan kuat bagi mengelak daripada melanggar orang, namun tindakan itu menyebabkan Perodua Viva dipandunya hilang kawalan dan merempuh struktur rumah tersebut.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.35 petang.

    Menurutnya, kemalangan itu berlaku secara tiba-tiba ketika kereta dipandu perlahan.

    “Bapa mangsa ketika itu tersepit tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Pelajar itu memaklumkan bapanya mempunyai rekod sawan dan dia sudah menyedari tanda-tanda serangan sebelum kejadian,” katanya.

    Pelajar berkenaan hanya mengalami luka di bahagian bibir, manakala bapanya mengalami pendarahan kecil di kepala.

    Zulkhairi berkata, enam anggota termasuk Pegawai Bomba Kanan II Zulhelmi Bahari terlibat dalam operasi dan turut memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada ambulans serta polis untuk tindakan selanjutnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12305

  • Mahkamah perintah kerajaan, PDRM bayar lebih RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat

    Mahkamah perintah kerajaan, PDRM bayar lebih RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat

    KUALA LUMPUR 5 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri aktivis, Amri Che Mat, berhubung kehilangan beliau sembilan tahun lalu.

    Perintah itu merangkumi ganti rugi am dan teruk berjumlah RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta serta ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52 kepada Noorhayati Mohd Ariffin. Defendan turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM250,000.

    Hakim Datuk Su Tiang Joo membuat keputusan tersebut selepas mendapati kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri.

    Mahkamah turut mengarahkan siasatan berhubung kehilangan itu dibuka semula dan pihak polis perlu melaporkan perkembangan terkini kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

    Ketika membacakan penghakiman hampir dua jam, hakim menyatakan pihak berkuasa gagal menunjukkan usaha sewajarnya untuk memaklumkan keluarga Amri mengenai perkembangan siasatan.

    “Pihak berkuasa juga melanggar hak Noorhayati kerana tidak menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan Amri. Kes ini sepatutnya diklasifikasikan sebagai penculikan dan bukan sekadar orang hilang,” katanya.

    Pada 18 November 2019, Noorhayati memfailkan saman terhadap 21 defendan, namun senarai itu kemudian dikurangkan kepada enam, termasuk kerajaan dan PDRM.

    Untuk rekod, Amri Che Mat dilaporkan hilang pada 24 November 2016 di Kangar, Perlis.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12304

  • Lelaki Rohingya didakwa cabul kehormatan remaja 14 tahun di Ketereh

    Lelaki Rohingya didakwa cabul kehormatan remaja 14 tahun di Ketereh

    KOTA BHARU 5 Nov – Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga kekasihnya dalam kejadian di Ketereh, Mei lalu.

    Tertuduh, Anamul Hassan Rahamatullah, berusia lingkungan 30-an, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

    Menurut pertuduhan, Anamul didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun empat bulan di sebuah rumah di Kampung Lachang, Ketereh, pada Mei lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, tidak mencadangkan sebarang wang jaminan berikutan kes berkenaan dianggap serius dan berat.

    Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan jurubahasa.

    Tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12300

  • Suami gagal beri nafkah, sikap kasar antara punca lebih 53,000 pasangan Islam bercerai tahun ini

    Suami gagal beri nafkah, sikap kasar antara punca lebih 53,000 pasangan Islam bercerai tahun ini

    KUALA LUMPUR 5 Nov – Sebanyak 53,245 pasangan Islam di seluruh negara disahkan bercerai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10,774 kes.

    Statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) menunjukkan Johor berada di tempat kedua dengan 6,078 kes, diikuti Kedah (4,582), Perak (3,908), Kelantan (3,820) dan Sabah (3,810).

    Negeri lain turut merekodkan jumlah ketara termasuk Pahang (3,767), Terengganu (3,647), Wilayah Persekutuan (3,397), Negeri Sembilan (2,679), Sarawak (2,233), Pulau Pinang (2,026), Melaka (1,793) dan Perlis (731).

    Ketua Pengarah JKSM merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain, berkata angka berkenaan melibatkan kes yang telah disahkan oleh Mahkamah Syariah, tidak termasuk permohonan perceraian yang masih dalam proses.

    “Jenis kes perceraian yang dicatatkan termasuk permohonan perceraian dengan lafaz cerai di depan hakim sebanyak 31,845 kes, pengesahan lafaz cerai bukan di depan hakim (15,972), taklik (1,257), tuntutan fasakh (4,090) dan tebus talak (81),” katanya.

    Beliau berkata, lima punca utama dikenal pasti sebagai faktor utama perceraian, termasuk kegagalan menunaikan tanggungjawab, masalah kewangan, kecurangan, isu persefahaman dan penglibatan dalam jenayah atau dadah.

    “Antara punca lain ialah kegagalan suami memberi nafkah, sikap kasar atau penderaan, pasangan menghilangkan diri serta penglibatan dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

    Usaha Mediasi, Sulh Dan Kursus Lanjutan Untuk Bendung Kes Cerai

    Menurut Mohd Amran, sebelum sesuatu kes perceraian disahkan, mahkamah akan berusaha memastikan pasangan melalui proses mediasi atau sulh bagi mencari jalan perdamaian.

    “Setiap permohonan perceraian akan disaring mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Jika mediasi berjaya, pasangan boleh berdamai. Jika gagal, barulah mahkamah mengesahkan perceraian,” katanya.

    Bagi mengekang peningkatan kes cerai, beliau mencadangkan supaya kerajaan menganjurkan kursus lanjutan selepas perkahwinan, khususnya bagi pasangan muda dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun pertama perkahwinan.

    “Pasangan disaran mengikuti kursus lanjutan mengenai keibubapaan dan pengurusan rumah tangga, termasuk larangan terhadap gurauan yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya.

    JKSM juga memperkenalkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang bertanggungjawab turun padang memberi penerangan tentang hak pasangan, bantuan undang-undang serta membabitkan pelajar universiti bagi tujuan latihan dan kesedaran sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12299

  • Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    KUALA LUMPUR – “Hubungan saya dengan dia (Nedim) okey, jadi saya tak nak komen panjang.”

    Demikian kata pelakon Nora Danish menjawab persoalan kononnya dia adalah wanita yang dimaksudkan bekas suami, Nedim Nazri menerusi untaian status berbaur perlian di platform Threads.

    Nora yang kini muncul dengan telefilem terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat berkata, dia sangat menghormati Nedim walaupun kini sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri.

    “Saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini ditambah pula saya sudah tidak lagi bersama dengannya.

    “Saya hormati hak dan privasi dia dan saya memang tak nak komen apa-apa sebab (apa yang dikongsinya), tak ada kena-mengena dengan saya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

    Ujar Nora lagi, dia juga tidak tahu akan kewujudan status daripada Nedim atau Boss Ned di media sosial yang dikatakan ditujukan kepadanya.

    “Saya tak juga tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab saya sedang sibuk uruskan restoran saya.

    “Saya tak ‘aware’ (perasan) dan tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia.

    “Saya mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua pihak. Seperti yang saya tekankan dari awal lagi, saya memang menitik beratkan hubungan baik untuk membesarkan anak saya dengan sihat,” ujarnya.

    “Jangan main (tentang) dengan anak saya, kalau mainkan dia, saya bantai sampai kurus.

    “Saya tak akan ‘bantai’ kalau saya rasa anak tak diketepikan. Kalau nak cuba marilah hantar ke sini, kita lawan. Anak saya adalah segala-segalanya,” katanya menerusi Threads.

    “Ingat, jangan ‘up’ melampau manusia tetapi itu yang kalian akan kena kalau cari fasal dengan anak saya.

    “Sasaran saya terhadap seseorang tidak pernah tersasar dan mereka tahu mengenainya,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/04/kami-okey-tak-rasa-status-itu-ditujukan-untuk-saya-nora-danish/

  • PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    KUALA LUMPUR 4 Nov – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap laporan media bertajuk “Pendekatan Fleksibel Untuk Hari Tua” yang disiarkan Sinar Harian pada 2 November lalu, kerana didakwa menggambarkan seolah-olah sistem Akaun Fleksibel KWSP mampu menyelesaikan keperluan mendesak rakyat ketika ini.

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, berkata realitinya lebih sejuta pencarum masih bergelut dengan komitmen hidup, hutang tertunggak dan tekanan ekonomi, sambil menegaskan:

    “Setiap hari, ribuan pencarum terus menunggu harapan yang belum pasti; bukan untuk hidup mewah, tetapi untuk meneruskan kehidupan.”

    Menurut PGIRM, pendekatan fleksibel yang dipromosikan sebagai solusi jangka panjang masih gagal menjawab kekangan tunai harian rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi dan peluang kerja yang tidak stabil.

    Sejak 21 Julai 2021, PGIRM telah menggerakkan pelbagai usaha menyampaikan suara pencarum kepada kerajaan termasuk penyerahan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri, Parlimen dan Istana Negara, kenyataan media berkala, solidariti aman di lokasi strategik, penghantaran e-mel rasmi kepada 222 Ahli Parlimen, serta pengumpulan lebih 320,000 respon kaji selidik yang merakamkan rintihan rakyat.

    Namun, menurut pertubuhan itu, suara berkenaan masih belum diberi perhatian sewajarnya.

    Azmi berkata rakyat tidak menolak konsep simpanan hari tua, namun dasar tersebut mesti bersifat lebih manusiawi dan fleksibel dalam menghadapi tekanan hidup semasa.

    PGIRM berpandangan kerajaan perlu menilai semula keseimbangan antara “menjaga hari tua” dan “menyelamatkan kehidupan hari ini”, kerana masa depan yang stabil tidak bermakna jika rakyat hidup dalam tekanan sekarang.

    Pertubuhan itu turut menyeru agar kerajaan menilai semula mekanisme Akaun Fleksibel, termasuk mempertimbangkan pengeluaran terkawal daripada Akaun 1 sebagai langkah khas demi keadilan sosial.

    PGIRM juga berharap liputan media pada masa depan dapat memberi ruang lebih seimbang kepada suara rakyat di lapangan supaya pandangan pencarum tidak tenggelam dalam satu naratif sahaja.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12279