Mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, dilaporkan maut dalam keadaan tragis selepas dilanggar, dengan tubuhnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain dalam kejadian sekitar pukul 10.40 pagi.Isteri mangsa, Nur Nadia Abdul Majid, 32, yang hadir ke mahkamah meluahkan tuntutan tegas agar keadilan ditegakkan, dengan menyatakan beliau mahukan hukuman setimpal terhadap tragedi yang meragut nyawa suaminya.Sumber: Kosmo! OnlineGambar: Malaysia Gazette
Tag: JNJ-MEDIA
-

Anak Allahyarham Amirul Hafiz jadi anak angkat MARA
Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, anak kepada Allahyarham Mohd Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah dijadikan anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan serta tanggungjawab bagi memastikan kebajikan dan pendidikan kedua-dua kanak-kanak berkenaan terus terbela.
Menurutnya, bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan ketika mereka di peringkat sekolah rendah dan akan ditingkatkan kepada RM150 apabila melangkah ke sekolah menengah.
“Bantuan ini turut disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff serta Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff yang mewakilinya menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, tragedi yang berlaku di Jalan Raya Barat, Klang itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan.
Beliau turut berkongsi panggilan video bersama ibu arwah, Faridah Ahmad, 56.
“Dalam nada penuh sebak, beliau memaklumkan arwah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan, tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menitipkan kata-kata semangat kepada Muhammad Aqif dan Muhammad Afif agar terus tabah serta belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik.
“Insya-ALLAH, MARA akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/anak-allahyarham-amirul-hafiz-jadi-anak-angkat-mara/
-

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengecam tindakan France yang menolak penggunaan ruang udara untuk pesawat tentera AS ke Israel, sambil memberi amaran bahawa perkara itu tidak akan dilupakan.
Dalam kenyataannya di Truth Social, Trump menyifatkan Perancis sebagai “sangat tidak membantu” dan menegaskan, “The U.S.A.
will REMEMBER!!!” sebagai mesej jelas kepada sekutu yang dilihat tidak menyokong operasi tersebut.Perkembangan itu berlaku ketika beberapa negara Eropah termasuk Italy dan Spain turut mengambil langkah sama, mencerminkan keretakan dalam kalangan sekutu Barat berhubung konflik di Asia Barat.Sumber: The Economic Times
-

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyindir sekutu Barat yang enggan terlibat dalam konflik Iran dengan menyuruh mereka “ambil sendiri” bekalan minyak dari Selat Hormuz.
Menurutnya, negara seperti United Kingdom dan sekutu Eropah tidak boleh terus bergantung kepada Amerika Syarikat, malah perlu bertindak sendiri jika mahu memastikan bekalan tenaga mereka terjamin.Kenyataan itu muncul ketika harga minyak global meningkat mendadak, sementara Kesatuan Eropah kekal dengan pendirian tidak mahu campur tangan, dengan diplomatnya Kaja Kallas menegaskan konflik tersebut bukan perang mereka.Sumber: PoliticoGambar: Associated Press
-

Donald Trump mengecam tindakan France yang menolak penggunaan ruang udara untuk pesawat Amerika menuju ke Israel, menyifatkan negara itu sebagai “tidak membantu” dan memberi amaran Washington akan mengingatinya.
Situasi bertambah tegang apabila Israel dilapor menghentikan jualan pertahanan kepada France, dengan keputusan dikaitkan kepada pendirian Presiden Emmanuel Macron yang menyekat laluan udara tersebut.Dalam masa sama, Italy turut menolak penggunaan pangkalan Sigonella oleh AS kerana tiada kebenaran rasmi, manakala Spain lebih awal menghalang operasi berkaitan konflik dengan Iran.Perkembangan ini menunjukkan semakin banyak negara Eropah mengambil pendirian berhati-hati, sekali gus mencerminkan perpecahan dalam kalangan sekutu Barat terhadap perang di Asia Barat.Sumber: The Economics TimesGambar: Intelligencer
-

Perancis dilaporkan menolak permintaan Israel untuk menggunakan ruang udaranya bagi menghantar senjata Amerika Syarikat ke zon perang Iran, menurut sumber diplomatik Barat.
Penolakan yang berlaku hujung minggu lalu itu dikatakan pertama kali dibuat sejak konflik bermula, sekali gus mencerminkan pendirian lebih berhati-hati Paris terhadap eskalasi perang.Setakat ini, pihak presiden Perancis dan kementerian luar belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan tersebut.Sumber: ReutersGambar: Christophie / Getty Images
-

Hawa Rizwana takluk Via Ferrata tertinggi di dunia
PETALING JAYA – Sejarah peribadi tercipta, pengacara Hawa Rizwana berjaya menakluk Via Ferrata tertinggi di dunia iaitu laluan ekstrem menuruni dinding curam di Gunung Kinabalu.
Cabaran yang ditempuh pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, itu bukan mudah apabila pendaki perlu melalui laluan menggunakan tali, tangga dan jambatan gantung.
Menerusi perkongsian video dalam Instagram, pengacara program MeleTOP itu berkongsi beberapa klip yang memaparkan keberaniannya melintasi jambatan gantung dan palang besi pada ketinggian antara 3,520 meter hingga 3,776 meter dari aras laut.
Bagaimanapun, usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan respons mengenai pengalamannya tidak berjaya apabila gagal dihubungi.
Rata-rata netizen dan rakan artis kagum dengan kekentalan wanita bertubuh kecil itu yang mampu menyelesaikan misi itu.
“Powerlah, jangan lupa jalan turun,” kata Fakhrul UNIC.
“Kawan yang jenis muat naik kandungan pengembaraan lasak pada hari Rabu yang biasa-biasa.” ujar Bella Dally.
“Hebat, teruskan beri semangat buat wanita di luar sana. Anak tengah memang selalunya kental begini, Harap ini kali pertama dan terakhir sebab kami warga Sabah pun turut menggigil ketakutan,” tutur peminat.
Ini bukan kali pertama Hawa melakukan aktiviti lasak apabila dia pernah melakukan aktiviti selam skuba.
Selain itu, dia juga pernah melakukan aktiviti berbasikal, mendaki, menyelam, kickboxing dan acara maraton. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/hawa-rizwana-takluk-via-ferrata-tertinggi-di-dunia/
-

Dua hari tak tidur, terbayang mangsa jatuh atas bumbung kereta
KLANG – Seorang lelaki masih dihantui trauma selepas menyaksikan sendiri detik ngeri seorang penunggang motosikal yang terjatuh di atas bumbung keretanya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat di sini, Ahad lalu.
Menurutnya, ketika kejadian dia memandu kereta jenis Perodua Myvi bersama seorang rakannya dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang sebelum insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba.
“Dua hari saya tak boleh tidur malam. Setiap kali pejam mata, kejadian itu muncul semula dalam ingatan.
“Saya masih terbayang tangan mangsa terkulai di cermin hadapan kereta saya. Sampai sekarang saya masih terkejut bila ingat balik,” katanya, hari ini.
Menceritakan detik kejadian, keadaan berlaku terlalu pantas sehingga pada awalnya dia menyangka kenderaannya tidak melanggar apa-apa.
“Saya ingatkan kereta itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas bumbung kereta apabila terlihat tangan mangsa terkulai di cermin hadapan sebelah pemandu.
“Masa itu saya memang tak pasti keadaan dia. Dalam keadaan panik saya memandu perlahan bagi memastikan mangsa tidak terjatuh ke jalan raya.
“Dalam fikiran saya ketika itu, tak mengapa kalau kereta rosak, yang penting nyawa dia,” katanya.
Tambahnya, dia kemudian menghentikan kenderaan di tepi jalan sebelum mendapati mangsa sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan.
Menurutnya, kejadian tersebut bukan sahaja meninggalkan trauma, malah menjejaskannya apabila kenderaan yang dipandu tidak dilindungi insurans komprehensif dan kini ditahan di balai bagi tujuan siasatan.
“Saya sedih bila tahu mangsa ada keluarga dan anak-anak masih kecil. Satu orang buat salah, ramai yang susah dan saya juga terkesan dengan kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi, Ahad lalu menyaksikan Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mabuk dan khayal di Jalan Raya Barat, di sini. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/dua-hari-tak-tidur-terbayang-mangsa-jatuh-atas-bumbung-kereta/
-

Bukan ‘overprotective’, risau anak kena buli – Cristina Suzanne
PETALING JAYA – Pelakon Cristina Suzanne menegaskan tidak akan menghantar anak lelakinya, Adrian Noah Faiz, 7, memasuki sekolah berasrama kerana bimbang belum mampu berdikari sepenuhnya.
Menurut Cristina, 41, proses untuk membentuk sikap berdikari sepatutnya berlaku selepas tamat persekolahan.
“Bagi saya kalau dia (anak) nak berdikari, masa yang sesuai adalah selepas tamat zaman persekolahan. Tinggal dan kerja sendiri, itu waktu yang tepat.
“Umur 18 tahun baru sesuai untuk ‘explore’. Kalau umur 14 atau 15, pada saya terlalu awal untuk dia urus serta kawal emosi.
“Kalau tinggal di asrama, saya risau berlaku isu buli dan sebagainya. Takut nanti saya pula yang datang ke sekolah dan marah orang. Tak mahulah dia pula menyampah dengan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Jangkar yang berlangsung di ibu pejabat Metrowealth (MIG) di sini, semalam.
Sambungnya lagi, mungkin segelitir pihak menganggap tindakannya terlalu melindungi anak, namun itu langkah terbaik bagi mengelakkan timbul banyak masalah kemudian hari.
“Saya bukan jenis ibu yang ‘overprotective’.
“Lebih kepada risau, jadi sebaiknya kita mengelak serta berjaga-jaga,” ujarnya.
Berkongsi mengenai filem Jangkar arahan Jasong King dan Ayish Shaukat, Cristina menerima tawaran itu kerana tertarik dengan genre epik yang diketengahkan.
“Saya bukan pegang watak utama dan terima projek ini kerana sudah lama mengidamkan genre epik.
“Harap penggambaran yang akan bermula pada 7 April depan berjalan lancar,” ujarnya.
Selain Suzanne, Jangkar turut dibintangi Yusof Hashim, Fikry Ibrahim, Noki K-Clique, Alieff Irfan dan Datuk Tarmimi Siregar. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/bukan-overprotective-risau-anak-kena-buli-cristina-suzanne/
-

‘Kami dalam proses berpisah, keputusan akhir adalah cerai’
PETALING JAYA – Kemelut perkahwinan pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam kini memasuki fasa baharu apabila prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk bertukar menjadi proses perceraian.
Dua kali pernah dilafazkan talak, Marissa mendedahkan dia kini dalam proses berpisah bersama suaminya, Aslam.
“Perbicaraan kes kelmarin telah ditangguhkan untuk sambung bicara kerana saya belum memberikan keterangan.
“Kami kini dalam proses berpisah dan keputusan akhir bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah cerai,” tulisnya pemilik nama lengkap Marissa Dania Hakim Mohamed Nurhakim, 21 itu dalam Instagram.
Anak kedua kepada Abby Abadi dan Norman Hakim juga berharap tiada lagi kenyataan yang dikeluarkan mana-mana pihak berhubung rumah tangganya.
“Saya harap tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pihak. Beri saya ruang dan jangan membuat andaian sendiri serta cepat membuat kesimpulan,” tulisnya.
Sebelum ini Marissa juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya.
Terdahulu kelmarin Marissa dan Aslam hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama dan sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan difahamkan rujuk sekitar Jun tahun sama.
Marissa Dania merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023 yang ketika itu sudah pun bergelar suami Umisya pada Julai 2020.
Pasangan itu juga pernah bercerai pada September 2023 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh idah. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/kami-dalam-proses-berpisah-keputusan-akhir-adalah-cerai/









