Tag: JNJ-MEDIA

  • Selangor FC sah jadi pilihan Kim Pan-gon

    Selangor FC sah jadi pilihan Kim Pan-gon

    PETALING JAYA – Teka-teki mengenai pengendali baharu Selangor FC akhirnya terjawab selepas melantik bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon serta-merta bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Katsuhito Kinoshi.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, pengurusan Gergasi Merah sangat berharap pengalaman luas Pan-gon dapat membawa pengalaman luas pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

    Malah, kenyataan itu turut menjelaskan Christophe Gamel yang sebelum ini ditugaskan selaku jurulatih interim turut dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal baharu kelab.

    “Selangor FC ingin mengumumkan pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah.

    “Bekas jurulatih interim Gamel telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal yang baharu berkuatkuasa hari ini.

    “Berbekalkan pengalaman yang luas serta pencapaian yang cemerlang, kelab percaya Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai pengendali dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggi.

    “Manakala, peranan Gamel selaku Pengarah Teknikal adalah tertumpu sepenuhnya kepada pembangunan jurulatih dan pemain muda bagi skuad bawah 23 tahun sehingga peringkat akar umbi.

    “Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Pan-gon dan Gamel dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka. Demi Kebanggaan!” kata kenyataan tersebut.

    Sebagai rekod, nama Pan-gon bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas membimbing skuad kebangsaan bermula 2022 hingga 2024.

    Jurulatih berusia 56 tahun itu meninggalkan Harimau Malaya pada Julai 2024 dan menyertai kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD sebelum berpisah pada Ogos lepas susulan prestasi hambar. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/selangor-fc-sah-jadi-pilihan-kim-pan-gon/

  • Kalendar 2026 ‘terlalu baik hati’

    Kalendar 2026 ‘terlalu baik hati’

    Tahun 2026 hadir dengan susunan kalendar yang sangat ‘cantik’, membuatkan ramai ibu bapa, murid sekolah termasuk golongan pekerja senyum lebar. Susunan cuti umum yang mesra hujung minggu, ditambah pula dengan cuti sekolah yang panjang menjadikan 2026 sebagai tahun paling ideal untuk bercuti dan melakukan sesuatu yang positif. Maka tidak hairan ramai mula merancang lebih awal, sama ada untuk pulang ke kampung, bercuti di luar negara ataupun, melangsungkan ikatan perkahwinan. Melihatkan kepada takwim persekolahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/kalendar-2026-terlalu-baik-hati/

  • ‘Ada yang ejek, tuduh saya pakai filter’

    ‘Ada yang ejek, tuduh saya pakai filter’

    PETALING JAYA – Seorang gadis terpaksa melalui kehidupan yang berliku apabila sering diejek ke­rana kekurangan dirinya sebelum dia menjadikannya sebagai sumber kekuatan sehingga berjaya ke menara gading dan mendapat pekerjaan. Nurain Hairulhaizuren, 28, yang dilahirkan dengan kecaca­tan mata dan sumbing berkata, dia kini boleh menerima kenya­taan walaupun satu ketika dahulu dia pernah rasa tidak bersyukur dan mempertikaikan keadaan dirinya. Katanya, dia telah menjalani 20 pembedahan di muka sejak kecil dan memberitahu jangkitan kuman pada mata menyebabkan salah satu pancainderanya terpaksa……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/ada-yang-ejek-tuduh-saya-pakai-filter/

  • ‘Romantic Echoes ada penggemar yang ramai di Malaysia’

    ‘Romantic Echoes ada penggemar yang ramai di Malaysia’

    MEMILIKI aura tersendiri sehingga pendengar khayal dibuai ilusi, kumpulan indie popular Indonesia, Romantic Echoes bakal merealisasikan konsert solo pertama di Malaysia.

    Pernah bertandang dalam beberapa festival muzik di Kuala Lumpur, kunjungan pada 6 Februari nanti tentu lebih bermakna apabila peminat bakal disajikan deretan seleksi hits sepanjang lebih dua jam.

    Bagi peminat tegar, menyaksikan serta mendengar katalog dendangan seperti persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi secara ‘live’ sudah tentu satu kepuasan.

    Jurucakap penganjur merangkap pengurus projek, Azreel Azhar berkata, penganjuran konsert Dentum: The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia adalah atas permintaan ramai.

    Akuinya, impak kemunculan Romantic Echoes pada Nyala Fest akhir November tahun lalu mencetuskan ilham untuk membawakan kumpulan terbabit ke Zepp Kuala Lumpur.

    “Kami nampak Romantic Echoes mempunyai kelompok penggemar tegar yang ramai di negara ini, sekali gus menggandakan lagi hasrat untuk bekerjasama.

    “Ini juga menjadi pemangkin kepada Neptunes Presents untuk menganjurkan persembahan solo pertama di Malaysia bagi memenuhi permintaan peminat tempatan,” katanya.

    Konsert berkenaan turut menampilkan band tempatan, Midnight Fusic sebagai artis jemputan yang akan membuka tirai persembahan.

    Menurut Azreel lagi, penganjur kini giat membuat persiapan bagi memastikan konsert berkenaan tampil dengan kelainan termasuk mempunyai elemen kejutan.

    “Persediaan rapi sedang rancak, malah pasukan Romantic Echoes juga tidak sabar untuk kembali lagi ke negara ini bertemu penyokong setia.

    “Pada konsert itu nanti Romantic Echoes dijangka menyampaikan 18 lagu daripada empat album termasuk beberapa seleksi yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini.

    “Kami yakin penonton akan pulang dengan perasaan gembira selain menyimpan kenangan romantis terindah bersama penghibur pujaan,” katanya.

    Tambah Azreel, persembahan solo pertama Romantic Echoes nanti juga menampilkan konsep berbeza sebagai penghargaan kepada peminat setia yang dikenali sebagai Divisi Romantis.

    “Konsert ini diharap menjadi momen yang meninggalkan kenangan manis dan romantis buat peminat kerana Zepp Kuala Lumpur merupakan lokasi yang dekat dan mesra dengan penonton tempatan,” katanya.

    Sebelum ini, Romantic Echoes pernah mengadakan beberapa persembahan bersama pemuzik tempatan serta muncul dalam festival muzik seperti Nyala Fest 2024 dan Sound Circus anjuran Art of Speed.

    Tiket konsert mula dijual kepada umum bermula 30 Disember 2025 menerusi platform Ticket Empire di www.myticketempire.com.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/romantic-echoes-ada-penggemar-yang-ramai-di-malaysia/

  • Mindef arah siasatan dakwaan aktiviti tak bermoral di kem tentera

    Mindef arah siasatan dakwaan aktiviti tak bermoral di kem tentera

    Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman dengan segera bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut secara menyeluruh.

    “Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

    “Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.

    Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.

    Jelas kenyataan itu, kementerian dan ATM turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi.

    “(Kementerian Pertahanan) juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/mindef-arah-siasatan-dakwaan-aktiviti-tak-bermoral-di-kem-tentera/

  • Peluang Klopp kembali bertugas

    Peluang Klopp kembali bertugas

    LONDON – Chelsea digesa sekurang-kurangnya membuat pendekatan awal terhadap bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp susulan keputusan mengejut Enzo Maresca meninggalkan Stamford Bridge selepas kemerosotan prestasi ketara pasukan.

    Kelab London itu mengesahkan perpisahan dengan Maresca selepas hanya meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, sekali gus menyaksikan The Blues terperosok ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

    Bekas pemain sayap Chelsea, Joe Cole berpendapat menggesa Chelsea berfikiran terbuka dengan sekurang-kurangnya menghubungi Klopp, meskipun mengakui peluang untuk merealisasikannya bukan mudah.

    “Situasi luar biasa perlukan pemikiran luar kotak. Chelsea patut hubungi Klopp. Kita tak pernah tahu kemungkinan yang ada,” ujar Cole.

    Bagaimanapun, Cole turut melihat pengendali Strasbourg, Liam Rosenior sebagai calon paling realistik sejajar dengan hala tuju pemilik kelab, Todd Boehly yang cenderung memilih jurulatih muda berorientasikan pembangunan.

    Dalam pada itu, Cole percaya bahawa Maresca tidak diberikan masa yang mencukupi, selain menyifatkan tugas pengurus moden kini semakin terhad akibat campur tangan struktur dalaman kelab.

    Menurutnya, kuasa sebenar pengurus kini semakin mengecil, termasuk dalam aspek pemilihan pemain dan pengurusan kecergasan, sekali gus memberi tekanan berlebihan untuk membentuk skuad terbaik. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/peluang-klopp-kembali-bertugas/

  • ‘Nubhan tak langgar peraturan, isu boikot luar kawalan produksi’

    ‘Nubhan tak langgar peraturan, isu boikot luar kawalan produksi’

    SHAH ALAM – Pihak produksi Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) mengakui cakna dengan respons segelintir penonton berhubung isu peribadi melibatkan peserta, Nubhan, namun menegaskan perkara tersebut tidak menjadi alasan untuk menggugurkan penyertaan penyanyi itu daripada pertandingan.

    Meskipun berdepan desakan netizen agar Nubhan diboikot, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, berkata, sepanjang 10 minggu penyertaan penyanyi itu dalam program berkenaan, dia tidak melakukan sebarang pelanggaran syarat atau peraturan pertandingan.

    “Kami faham keprihatinan penonton, khususnya apabila isu peribadi peserta menjadi perhatian.

    “Tapi satu perkara yang harus diingatkan, setakat ini Nubhan tidak melanggar apa-apa syarat pertandingan.

    “Jadi secara teknikal, statusnya masih peserta, maka dia masih layak untuk terus berada dalam GV12,” katanya kepada Kosmo! Online.

    Tambah Idlan, reaksi penonton dan isu peribadi peserta berada di luar kawalan pihak produksi, namun fokus utama tetap diberikan terhadap kualiti persembahan di pentas.

    “Perkara melibatkan kehidupan peribadi dan kritikan penonton bukan di bawah kawalan kami.

    “Apa yang mampu kami pastikan hanyalah mutu persembahan di pentas setiap minggu. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada Nubhan untuk berhenti,” ujarnya usai tamat konsert minggu suku akhir, di sini, malam tadi.

    Pada konsert minggu suku akhir bertemakan Kengkawan, Nubhan tampil cemerlang menerusi lagu Masih Aku Terasa nyanyian asal kumpulan Gersang, sekali gus meraih tempat kedua dengan markah 70 peratus.

    Sejak minggu lalu, Nubhan menjadi perhatian apabila tindakannya mengeluarkan barangan peribadi milik bekas isteri bersama anak-anak dari kediaman tanpa pengetahuan mereka mengundang kecaman hebat netizen.

    Rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan tersebut keterlaluan, malah ada mendesak agar program berkenaan diboikot serta meminta Nubhan menarik diri daripada GV12. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/nubhan-tak-langgar-peraturan-isu-boikot-luar-kawalan-produksi/

  • ‘Lepas 22 tahun baru dapat mas kahwin, nafkah anak belum’

    ‘Lepas 22 tahun baru dapat mas kahwin, nafkah anak belum’

    PETALING JAYA – Berbelas tahun selepas bercerai dan menunggu penuh sabar, pelakon Abby Abadi akhirnya menerima bayaran mas kahwin tertangguh selama 22 tahun daripada bekas suami yang juga aktor, Norman Hakim

    Pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 49, turut meluahkan rasa syukur kerana suaminya, Faizal Zakaria serta isteri Norman, Memey Suhaiza tidak pernah campur tangan dalam urusan tertunggak tersebut sebelum ini.

    “Dengan tenangnya saya kongsikan serba sedikit supaya semua tahu, yang ini (mas kahwin) sudah selesai selepas 22 tahun.

    “Terima kasih suami dan Memey kerana tak pernah campur urusan yang tertangguh ini.

    “Bukan nak kongsi sangat pun sebenarnya, cuma nak maklumkan berkat kesabaran selama 22 tahun ini, rezeki saya tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran TikTok.

    Selain itu, pelakon drama Gerak Khas itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Norman yang sanggup melunaskan tunggakan walaupun selepas dua dekad menunggu.

    “Terima kasih Norman kerana sudi bayar apa yang tertunggak setelah berkemampuan.

    “Awak kata tak perlu kongsi, tapi tak apalah saya suka nak kongsi.

    “Saya terus menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran 22 tahun ini, dapatlah saya sebuah mahligai bukan hanya di dunia, tetapi di syurga sana,” katanya lagi.

    Pada masa sama, Abby turut menyatakan terdapat tunggakan lain melibatkan nafkah sepanjang tempoh perkahwinan sebelum ini.

    “Yang saya tuntut nafkah makan minum dan tempat tinggal untuk 18 tahun, panjang lagi ceritanya.

    “Yang ini hanya duit mas kahwin,” ujarnya.

    Bagaimanapun, Abby tidak berkongi nilai yang diterima daripada Norman.

    Sebelum ini, Abby dan Norman pernah mendirikan rumah tangga pada 2002 namun bercerai pada 2009.

    Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17 tahun.

    Selepas itu, Abby mendirikan rumah tangga bersama Faizal manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan Memey pada 2011. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/lepas-22-tahun-baru-dapat-mas-kahwin-nafkah-anak-belum/

  • Semua rakyat Iran terima elaun bulanan

    Semua rakyat Iran terima elaun bulanan

    TEHRAN – Pihak berkuasa Iran mengumumkan pemberian elaun bulanan kepada setiap rakyat negara itu untuk mengurangkan beban ekonomi susulan protes yang berlarutan selama lebih seminggu.

    “Setiap orang menerima elaun bersamaan AS$7 (RM28) sebulan, yang akan dikreditkan ke akaun setiap selama empat bulan,” kata jurucakap kerajaan, Fatemeh MoHajjerani.

    Beliau berkata, jumlah itu akan diberikan dalam bentuk kredit, Ia boleh digunakan untuk membeli barangan tertentu, bertujuan untuk mengurangkan tekanan ekonomi terhadap rakyat jelata.

    Di Iran yang mempunyai populasi lebih 85 juta orang , gaji minimum adalah sekitar AS$100 (RM406), manakala purata gaji bulanan pula kira-kira AS$200 (RM812).

    Kebanyakan rakyat Iran menggunakan telefon bimbit dan kad debit untuk pembelian harian dan bukannya wang tunai.

    Ekonomi Iran bergelut akibat sekatan Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa berhubung program nuklear Tehran selama bertahun-tahun, manakala pada Disember 2025, kadar inflasi tahun ke tahun melonjak 52 peratus.

    Mata wang Iran juga susut nilai lebih satu pertiga berbanding dolar AS sepanjang tahun lepas, menyebabkan kuasa membeli rakyat merosot, mengundang rasa tidak puas hati yang meluas di negara itu.

    Sementara itu, protes disebabkan ketidakpastian ekonomi susulan penyusutan nilai mata wang Iran masuk hari kelapan semalam.

    Protes merebak ke sekurang-kurangnya 40 bandar dengan kebanyakannya, bersaiz sederhana dan tertumpu di barat Iran, demikian menurut kiraan AFP berdasarkan pengumuman rasmi serta laporan media.

    Setakat semalam, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh termasuk anggota pasukan keselamatan. – AFP

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/05/semua-rakyat-iran-terima-elaun-bulanan/

  • DAPSY Pahang kecam Akmal, cabar letak jawatan Exco Melaka

    DAPSY Pahang kecam Akmal, cabar letak jawatan Exco Melaka

    KUALA LUMPUR 5 Jan – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pahang mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dengan menggunakan retorik perkauman sehingga didakwa menghasut rakyat.

    Timbalan Ketua DAPSY Pahang, Thui Zhi Yong mendakwa, masyarakat mempersoalkan tindakan Akmal yang masih memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka, sedangkan beliau lantang menggesa UMNO meninggalkan kerajaan dan menjadi pembangkang.

    Menurutnya, jika Akmal benar-benar bertegas mahu UMNO keluar daripada kerajaan, beliau sepatutnya membuktikan prinsip dan kewibawaannya sebagai pemimpin muda dengan meletakkan jawatan Exco.

    “DAPSY Pahang mencabar Akmal supaya meletakkan jawatan Exco Melaka serta-merta dan bukan sekadar bercakap kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zhi Yong berkata, Akmal berulang kali mencetuskan krisis serta keresahan rakyat sehingga diibaratkan sebagai ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.

    Beliau mendakwa, dalam beberapa isu sebelum ini termasuk isu stokin, sandwich dan bendera terbalik, Akmal sering bertindak melampaui batas serta mengeluarkan kenyataan kontroversi.

    “Akmal kerap berperanan seperti polis moral dan hakim, mengugut pihak lain sesuka hati serta mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,” katanya.

    Menurutnya, Akmal kini menggunakan naratif perkauman dan slogan ‘perpaduan Melayu’ bagi mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan serta secara terbuka menyeru kerjasama dengan Pas.

    “DAPSY Pahang berpandangan gaya politik Akmal umpama samseng jalanan yang mencabar ketenteraman awam dan jelas bercanggah dengan struktur serta semangat Kerajaan Perpaduan,” dakwanya.

    Sehubungan itu, katanya, DAPSY Pahang mendesak DAP dan DAPSY Kebangsaan supaya memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Akmal kerana tindakannya disifatkan mencemarkan imej kerajaan dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk.

    Zhi Yong menegaskan, Kerajaan Perpaduan diwujudkan bagi menjamin kestabilan politik serta memelihara kepelbagaian dan keharmonian negara, bukannya memberi ruang kepada ahli politik ekstrem yang memainkan politik kebencian.

    Tambahnya, Pahang sebagai antara negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan menyaksikan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional berjalan lancar, dan sebarang hubungan berterusan dengan Akmal hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan.

    “DAPSY Pahang percaya hanya dengan mengambil langkah tegas, Kerajaan Perpaduan mampu bergerak lebih mantap dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran yang kompeten, progresif dan berteraskan tatakelola baik,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13467